Salam serta selawat ke atas Rasulullah Sallallahu
> 'Alaihi Wasallam, ahli keluarga baginda serta salam
> kepada para sahabat yang berjuang menegakkan Islam di muka
> bumi ini.
>
> Rasulullah SAW menggambarkan keindahan agama yang
> dibawanya dapat difahami daripada sebuah hadis yang
> bermaksud, "Sesungguhnya Allah itu cantik dan Allah
> sukakan kecantikan." (Hadis riwayat Muslim dan
> At-Tirmidzi). Allah sukakan kecantikan dan seterusnya
> menggalakkan umatnya berhias dengan pakaian yang cantik
> untuk mengerjakan ibadah, seperti dalam firmannya yang
> bermaksud, "Wahai anak-anak Adam, pakailah pakaianmu
> yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke masjid (atau
> mengerjakan sembahyang), makanlah dan minumlah, dan jangan
> pula kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak
> menyukai akan orang-orang yang berlebih-lebihan (melampaui
> batas)." (Surah Al-A'raaf, ayat 31)
>
> Manusia pun sentiasa sukakan sesuatu yang cantik.
> Mahukan pakaian yang cantik, perhiasan yang cantik, suami
> yang cantik (hensem la tu), isteri yang cantik, rumah yang
> cantik, kereta yang cantik dan macam-macam lagi. Binatang
> juga sukakan kecantikan, lihatlah burung merak yang
> kelihatan megah dengan bulunya yang cantik berwarna-warni,
> malah ayam jantan cuba memperagakan bulu dan badannya yang
> cantik untuk memikat ayam betina kerana ia tahu bahawa ayam
> betina sukakan kecantikan.
>
> Cantik dan berhias itu memang dituntut Islam. Islam
> tidak suka umatnya selekeh, kusut masai dan tidak terurus.
> Rasulullah SAW sendiri seorang yang sangat kemas, kacak dan
> menarik sekali, malah senang mata apabila melihatnya. Sering
> dituntut malah menjadi kewajipan isteri berhias diri untuk
> tatapan suami tercinta. Apabila bercerita mengenai cantik
> dan semua orang hendak cantik, bertepatan pula dengan fitrah
> manusia yang memang hendak cantik saja dan asal cantik.
> Justeru, kemajuan perubatan mengambil kesempatan. Dengan
> penemuan moden dan kebolehan doktor membantu 'cepat
> cantik' dengan suntikan botoks dan sebagainya.
>
> Dapat kita lihat pada masa kini, remaja dan
> kalangan artis dan isteri-isteri yang mula meningkat usia,
> demi cantik atau karier sanggup berbuat apa saja. Keinginan
> mahu cantik itu tidaklah salah tetapi yang kena difikirkan
> juga ialah caranya biarlah tidak bercanggah dengan syariat
> Islam. Islam melarang keras sebarang pengubahan ciptaan asal
> bahagian tubuh seseorang yang dilakukan dengan alasan untuk
> kelihatan cantik atau lebih cantik selain bertujuan
> kosmetik. Bagaimanapun, jika ia dilakukan dengan tujuan
> perubatan akibat kemalangan dan kecacatan, hukumnya menjadi
> harus.
>
> Jelasnya, tujuan yang dibenarkan adalah bagi
> memperbaiki organ tubuh yang rosak akibat trauma kemalangan
> selain untuk mengembalikan kecacatan kepada kejadian tubuh
> manusia normal. Dalil yang mengharamkan pembedahan plastik
> untuk tujuan selain kesihatan berdasarkan ayat 117 hingga
> 119 surah an-Nisaa' iaitu Allah berfirman yang
> bermaksud, "Apa yang mereka sembah selain daripada
> Allah itu tidak lain hanya berhala dan (dengan menyembah
> berhala itu) mereka tidak menyembah melainkan syaitan yang
> derhaka, yang dilaknati Allah dan syaitan itu mengatakan,
> 'Demi sesungguhnya aku akan mengambil daripada kalangan
> hamba-hamba-Mu, bahagian yang sudah ditentukan (untuk
> menjadi pengikutku). Dan demi sesungguhnya aku akan
> menyesatkan mereka (daripada kebenaran) dan demi
> sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan
> angan-angan kosong dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh
> mereka (memotong telinga-telinga binatang ternak) lalu
> mereka benar-benar memotong telinga binatang itu dan aku
> akan menyuruh mereka (merubah ciptaan Allah), lalu
> benar-benar mereka merubahnya.' Barang siapa yang
> menjadikan syaitan menjadi pelindung selain Allah, maka
> sesungguhnya ia menderita kerugian yang nyata."
>
> Ulama tafsir memiliki tiga pendapat mengenai
> takrifan 'merubah fitrah kejadian dan apa jua yang sudah
> ditetapkan Allah' iaitu mengubah bentuk tubuh dan organ
> haiwan serta manusia; mengubah tugas atau fungsi sesuatu
> seperti menjadikan batu atau matahari sebagai Tuhan dan
> mengubah syariat Islam iaitu menghalalkan yang diharamkan
> Allah serta sebaliknya.
>
> Batas-batas dalam berhias
>
> Merujuk kepada fatwa kebangsaan bagi hal ehwal
> agama Islam Malaysia, muzakarah mereka kali ke-74 bermula
> pada 25 hingga 27 Julai 2006 memutuskan bahawa suntikan
> Botulinum Toxin Type A atau nama komersialnya botoks adalah
> haram digunakan kerana ia didapati mengandungi bahan
> meragukan dan bersifat najis.
>
> Bagaimanapun, ada pihak yang cuba mempertikaikan
> keputusan itu dengan mengatakan bahawa bahan yang digunakan
> untuk menghasilkan botoks hanya protein, malah bukan protein
> daripada binatang yang diharamkan, tetapi mungkin namanya
> melambangkan seolah-olah ia daripada sesuatu yang kotor.
> Pihak ini juga cuba mendakwa, dari segi kesihatan,
> penggunaan botoks tidak memudaratkan jika ia dilakukan pihak
> yang bertauliah dan menggunakan teknik suntikan yang betul.
> Cuma pihak ini tidak menolak kemungkinan ia akan menimbulkan
> kesan sampingan jika digunakan berlebihan tanpa pemantauan
> atau diselia pihak bertauliah. Bagaimanapun, isu utama yang
> menyebabkan ia menjadi haram pada pandangan syariah ialah:
>
> 1.. Unsur najis dan kotoran di dalam bahan
> botoks. Kajian mendapati botoks atau Botulinum Toxin Type A
> antara lain mengandungi bahan daripada babi, selain wujudnya
> bahan tiruan yang boleh mendatangkan mudarat. Dalam Islam,
> terdapat dalil yang menyebut: "Tidak boleh mendatangkan
> mudarat dan tidak boleh pula membalas mudarat."
> 2.. Mengubah ciptaan Allah untuk tujuan cantik.
> Isu mengubah ciptaan Allah SWT terhadap diri seseorang.
>
> Bertatu dan mencukur alis/kening
>
> Rasulullah SAW bersabda, maksudnya, "Allah
> mengutuk (melaknat) perempuan yang bertatu atau minta di
> buat tatu, yang mencukur alis dan mereka yang meminta
> dicukur alis mereka, perempuan yang membentuk giginya agar
> kelihatan cantik dan mereka yang mengubah ciptaan
> Allah." (Hadis riwayat Thabarani dan Ibnu Mas'ud)
>
> Maksud mengubah ciptaan Allah SWT ialah membuat
> perubahan pada ciptaan Allah yang telah sempurna secara
> pandangan umum dan adat atas dasar tidak berpuas hati dengan
> anugerah itu, bukan kerana memperbaiki atau memulihkan
> kecacatan. Mencabut bulu kening yang merupakan anugerah dan
> ciptaan Allah SWT yang sempurna dan membuat atau melukis
> bulu kening yang baharu selepas itu agar menepati cita rasa
> sendiri supaya kelihatan lebih cantik, menawan dan bergaya
> adalah perbuatan yang haram di sisi Islam. Jika perbuatan
> mencabut bulu kening itu disebabkan ia tumbuh berselerak dan
> tidak kemas yang amat teruk, maka hal ini tidaklah termasuk
> dalam erti kata mengubah ciptaan Allah SWT. Lagipun jika
> yang dicabut itu hanyalah yang berselerak dan bukan termasuk
> bulu yang dipanggil kening serta tidak membuat lukisan
> semula terhadapnya. Ini dilakukan atas dasar menjaga
> kekemasan diri bukan kerana tidak puas hati dengan ciptaan
> Allah SWT kerana Allah itu cantik dan sukakan kecantikan.
>
> Tatu iaitu memberikan tanda pada muka dan kedua-dua
> tangan dengan warna biru dalam bentuk ukiran. Sebahagian
> orang Arab, khususnya golongan wanita membuat tatu di
> sebahagian besar tubuh badan mereka. Bahkan pada masa
> pengikut agama membuat tatu dalam bentuk persembahan dan
> lambang agama mereka, misalnya orang Kristian melukis salib
> di tangan dan dada mereka. Perbuatan yang buruk menjadi
> semakin besar pengharamannya apabila ia dilakukan dengan
> menyeksa dan menyakiti badan iaitu dengan menusuk-nusukkan
> jarum pada badan orang yang dibuat tatu itu. Semua ini
> menyebabkan laknat, baik terhadap yang membuat tatu atau
> orang yang minta dibuat tatu.
>
> Kikir gigi
>
> Dan yang disebut mengikir gigi dalam hadis di atas,
> iaitu merapikan dan memendekkan gigi. Biasanya dilakukan
> oleh perempuan. Kerana itu Rasulullah melaknat
> perempuan-perempuan yang mengerjakan perbuatan ini (tukang
> kikir) dan minta supaya dikikir. Kalau ada laki-laki yang
> berbuat demikian, maka dia akan lebih berhak mendapat
> laknat. Termasuk diharamkan seperti halnya mengikir gigi,
> yaitu menjarangkan gigi. Yang disebut 'al-Falaj'
> (dalam hadis asal), yaitu meletakkan sesuatu di sela-sela
> gigi, supaya nampak agak sedikit jarang. Di antara perempuan
> memang ada yang oleh Allah dicipta demikian, tetapi ada juga
> yang tidak begitu. Kemudian dia meletakkan sesuatu di
> sela-sela gigi yang berhimpitan itu, supaya giginya menjadi
> jarang. Perbuatan ini dianggap mengelabui orang lain dan
> berlebih-lebihan dalam berhias yang samasekali bertentangan
> dengan jiwa Islam yang sebenarnya. Perlu diingat, hal
> menjarangkan gigi ini adalah 'trend' Jahiliyah di
> zaman Jahiliyah dan ia dianggap cantik.
>
> Daripada hadis-hadis yang disebutkan di atas, maka
> kita dapat mengetahui tentang hukum pembedahan kecantikan
> seperti yang terkenal sekarang kerana bagi memenuhi selera
> nafsu dan syahwat, iaitu kebudayaan Barat yang amat
> materialististik, sehingga begitu ramai perempuan dan
> laki-laki yang mengorbankan wangnya beribu-ribu untuk
> mengubah bentuk hidung, payudara atau yang lain. Semua ini
> termasuk yang dilaknat Allah dan Rasul-Nya, kerana di
> dalamnya terkandung penyiksaan dan perubahan bentuk ciptaan
> Allah tanpa ada suatu sebab yang mengharuskan untuk berbuat
> demikian, melainkan hanya untuk pemborosan dalam hal-hal
> yang bersifat 'show' dan lebih mengutamakan pada
> bentuk, bukan inti, lebih mementingkan jasmani daripada
> rohani.
>
> Bagaimanapun Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi menyebut,
> "Adapun kalau ternyata orang tersebut mempunyai cacat
> yang kiranya menjijikkan pandangan, misalnya kerana ada
> daging tambah yang boleh menimbulkan sakit jiwa dan
> perasaan, maka ketika itu adalah tidak berdosa orang untuk
> berubat selagi dengan tujuan menghilangkan kecacatan atau
> kesakitan yang boleh mengancam hidupnya. Kerana Allah tidak
> menjadikan agama buat kita ini dengan penuh kesukaran."
> (Al-Halal wal Haram Fil Islam)
>
> Susuk dan sihir
>
> Adapun pemakaian susuk, ia dianggap lebih berat
> kerana ia biasanya melibatkan ilmu sihir. Susuk juga dipakai
> di tempat tertentu seperti muka, badan, malah kemaluan dan
> jika ada yang mendakwa menggunakan ayat al-Quran, jelas
> bertentangan dengan Islam. Melihat kepada apa yang didakwa
> (menggunakan ayat al-Quran), ia sama seperti bomoh melakukan
> jampi tetapi mendakwa menggunakan ayat al-Quran. Tentang
> pembelajaran ilmu sihir, al-Quran mengatakan, "Mereka
> belajar suatu ilmu yang membahayakan diri mereka sendiri dan
> tidak bermanfaat buat mereka." (Surah al-Baqarah, ayat
> 102)
>
> Rasulullah SAW menilai sihir sebagai salah satu
> daripada dosa besar yang boleh menghancurkan sesuatu bangsa,
> dan dapat merendahkan darjat pelakunya di dunia ini lagi.
> Justeru itu Rasulullah SAW bersabda, "Jauhilah tujuh
> perkara besar yang merusak. Para sahabat bertanya: Apakah
> tujuh perkara itu, ya Rasulullah? Jawab Nabi, yaitu: 1)
> menyekutukan Allah; 2) sihir; 3) membunuh jiwa yang oleh
> Allah diharamkan kecuali karena hak; 4) makan harta riba; 5)
> makan harta anak yatim, 6) lari dari peperangan; 7) menuduh
> perempuan-perempuan baik, terjaga dan beriman."
> (Riwayat Bukhari dan Muslim)
>
> Sebahagian ahli fiqh menganggap, sihir itu bererti
> kufur, atau membawa kepada kufur. Sementara ada juga yang
> berpendapat, ahli sihir itu wajib dibunuh demi melindungi
> masyarakat dari bahaya sihir. Al-Quran juga telah mengajar
> kita supaya kita suka berlindung diri kepada Allah dari
> kejahatan tukang sihir, firman-Nya, "(Dan aku
> berlindung diri) dari kejahatan tukang meniup simpul."
> (Surah al-Falaq, ayat 4)
>
> Peniup simpul salah satu cara dan ciri yang
> dilakukan ahli-ahli sihir. Dalam salah satu hadis dikatakan,
> "Barangsiapa meniup simpul, maka sungguh ia telah
> menyihir, dan barangsiapa menyihir maka sungguh dia telah
> berbuat syirik." (Hadis riwayat Thabarani dengan dua
> sanad; salah satu rawi-rawinya adalah thiqah)
>
> Susuk ini ada persamaannya dengan peniup simpul
> ini, iaitu dijampi susuk itu dan kemudiannya di masukkan ke
> dalam tubuh. Jelas, bahawa pemakaian susuk amat mampu
> mempengaruhi seseorang itu agar mempercayai adanya kuasa
> lain selain kuasa Allah. Ini juga telah diharamkan melalui
> hadis-hadis yang sahih sebagaimana pengharaman kepercayan
> kepada tangkal dan menggantungnya. Pemakai susuk akan mula
> percaya dan seterusnya bergantung kepada susuk digunakan
> dalam kehidupan hariannya. Ketika itu, jelas mereka dalam
> keadaan syirik dan menanggung dosa besar.
>
> Menyambung rambut
>
> Baru-baru ini saya berkesempatan menonton WHI di
> TV3 mengenai teknik menyambung rambut dengan rambut lain,
> baik rambut itu asli atau imitasi seperti yang terkenal
> sekarang ini dengan nama wig (cemara), kini menjadi trend
> bagi perempuan yang cukup gemarkan fesyen terkini. Hairan
> saya, tidakkah mereka mengetahui perbuatan menyambung rambut
> dilarang oleh Rasulullah SAW.
>
> Bagi laki-laki lebih diharamkan lagi, baik dia itu
> bekerja sebagai tukang menyambung seperti yang dikenal
> sekarang tukang rias ataupun dia minta disambungkan
> rambutnya, jenis perempuan-perempuan wadam (laki-laki banci)
> seperti sekarang ini. Persoalan ini oleh Rasulullah SAW,
> diperkeras sekali dan digiatkan untuk memberantasnya. Sampai
> pun terhadap perempuan yang rambutnya gugur karena sakit
> misalnya, atau perempuan yang hendak menjadi pengantin untuk
> bermalam pertama dengan suaminya, tetap tidak boleh
> rambutnya itu disambung.
>
> Aisyah r.a. meriwayatkan, "Seorang perempuan
> Anshar telah kawin, dan sesungguhnya dia sakit sehingga
> gugurlah rambutnya, kemudian keluarganya bermaksud untuk
> menyambung rambutnya, tetapi sebelumnya mereka bertanya dulu
> kepada Nabi, maka jawab Nabi: Allah melaknat perempuan yang
> menyambung rambut dan yang minta disambung rambutnya."
> (Hadis riwayat Bukhari)
>
> Asma binti Abu Bakar r.a. juga pernah meriwayatkan,
> ada seorang wanita datang kepada Rasulullah SAW lalu dia
> berkata kepada baginda, "Aku mempunyai seorang anak
> gadis yang akan menjadi mempelai. Dia terkena penyakit
> campak sehingga rambutnya gugur. Bolehkah ku sambung
> rambutnya?" Sabda Rasulullah SAW, "Allah
> Ta'ala mengutuk orang yang menyambung rambut dan yang
> meminta supaya rambutnya disambung." (Hadis sahih
> riwayat Bukhari dan Muslim)
>
> Said bin al-Musayib meriwayatkan, "Muawiyah
> datang ke Madinah dan ini merupakan kedatangannya yang
> paling akhir di Madinah, kemudian ia bercakap-cakap dengan
> kami. Lantas Muawiyah mengeluarkan satu ikat rambut dan ia
> berkata: Saya tidak pernah melihat seorangpun yang
> mengerjakan seperti ini kecuali orang-orang Yahudi, di mana
> Rasulullah SAW sendiri menamakan ini suatu dosa yakni
> perempuan yang menyambung rambut (adalah dosa)." (Hadis
> riwayat Bukhari)
>
> Dalam satu riwayat dikatakan, bahawa Muawiyah
> berkata kepada penduduk Madinah, "Di mana
> ulama-ulamamu? Saya pernah mendengar sendiri Rasulullah SAW
> bersabda: Sungguh Bani Israel rodak kerana
> perempuan-perempuannya memakai ini (cemara)." (Hadis
> riwayat Bukhari)
>
> Rasulullah menamakan perbuatan ini zuur (dosa)
> bererti memberikan suatu isyarat akan hikmah diharamkannya
> hal tersebut. Sebab hal ini tak ubahnya dengan suatu
> penipuan, memalsu dan mengelabui. Sedang Islam benci sekali
> terhadap perbuatan menipu; dan sama sekali antipati terhadap
> orang yang menipu dalam seluruh lapangan muamalah, baik yang
> menyangkut masalah material ataupun moral. Sabda Rasulullah
> SAW, "Barangsiapa menipu kami, bukanlah dari golongan
> kami." (Riwayat Jamaah sahabat)
>
> Yang dimaksud oleh hadis-hadis tersebut di atas,
> iaitu menyambung rambut dengan rambut, baik rambut yang
> dimaksudkan itu rambut asli ataupun imitasi. Dan ini pulalah
> yang dimaksud dengan memalsu dan mengelabui. Adapun kalau
> dia sambung dengan kain atau benang dan sebagainya, tidak
> masuk dalam larangan ini.
>
> Kesimpulannya, Islam tidak menghalang umatnya
> kelihatan cantik, malah menggalakkan umatnya menghias diri,
> namun ia perlu mengikut cara dibenarkan dan tidak
> membabitkan perbuatan syirik seperti memakai susuk mahupun
> pembedahan plastik dan botox. Hanya rawatan ke atas penyakit
> yang tidak boleh sembuh dengan sendirinya sahaja yang
> diharuskan seperti memasang gigi palsu di tempat gigi yang
> rongak (bukan mematahkan gigi dan menggantikannya dengan
> yang lain), mengatur susunan gigi yang tidak tersusun (tapi
> bukan mengasah atau mengikir), memakai ubat supaya rambut
> tumbuh di tempat yang botak (bukan memakai rambut palsu),
> memakai ubat untuk membuang jeragat pada kulit (bukan
> membuat pembedahan plastik atau memakai bahan kimia untuk
> menukar warna kulit), memakai inai, syampu atau gel pada
> rambut atau janggut supaya lebih segar dan terurus (bukan
> mewarnakannya dengan cat atau spray) dan sebagainya sebagai
> perbezaan antara merawat/menjaga keaslian ciptaan Allah SWT
> dengan mengubah ciptaan-Nya di mana merawat/menjaga itu
> adalah HARUS manakala merubahnya adalah HARAM.
>
> Diri manusia dan segala makhluk di alam ini adalah
> hak mutlak Allah SWT, oleh itu kita hendaklah mematuhi
> segala hukum dan kehendak agama dengan baik. Janganlah
> tertipu dan terpengaruh dengan tabiat orang yang suka
> menurut hawa nafsunya disebabkan sikap tidak bersyukur dan
> tidak berpuas hati dengan ciptaan dan anugerah Allah di mana
> sikap ini sebenarnya merupakan sikap yang diwarisi daripada
> syaitan. Cantik biarlah selari dengan kehendak Allah dan
> cantik hakiki bermula dengan kecantikan dalaman (inner
> beauty).
>
> Renung-renungkan!
Jumaat, 1 Januari 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan